Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Noripah Kamso sebagai Pengerusi Bank Rakyat.

Datuk Noripah Kamso merupakan bekas Penasihat CIMB Islamic serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Asset Management Sdn Bhd.

Beliau kini memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Berhad dan Top Glove Corporation Berhad selain menjadi Pengerusi bersama Islamic Finance Industry Council, Malaysia US Chamber Of Commerce yang berpusat di Washington DC.

Mohd Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha kementerian Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang baharu.

Pelantikan kedua-dua mereka adalah berkuatkuasa serta-merta, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan di bawah sub perenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 Akta 202.

Manakala pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat baharu yang lain akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan.