Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) kini boleh mengendalikan pertikaian sehingga RM250,000, had kewangan yang lebih tinggi berbanding skim sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif OFS Jeremy Lee berkata had baharu ini adalah untuk pertikaian yang melibatkan perkhidmatan kewangan atau produk yang dibangunkan, ditawarkan atau dipasarkan oleh penyedia perkhidmatan kewangan konvensional atau Islam, atau oleh penyedia perkhidmatan kewangan untuk atau bagi pihak orang lain.

"Perkhidmatan OFS ini percuma bagi pengguna kewangan, dan tidak melibatkan pelantikan peguam atau firma guaman.

"Kami akan cuba untuk menyelesaikan setiap kes dalam tempoh tiga hingga enam bulan, jika semua dokumen lengkap," katanya pada taklimat media mengenai peranan OFS sini hari ini.

OFS yang memulakan operasi pada 1 Okt 2016, sebelum ini dikenali sebagai Biro Pengantaraan Kewangan (dari 20 Jan, 2005).

"Menerusi skim terdahulu, had bagi perkhidmatan perbankan atau produk ialah RM100,000, had tuntutan insurans hayat dan takaful keluarga sebanyak RM100,000, manakala bagi tuntutan insurans/takaful permotoran dan kebakaran sebanyak RM200,000," kata Lee.

Lee berkata had kewangan ke atas tuntutan insurans/takaful permotoran bagi kerosakan harta pihak ketiga juga lebih tinggi iaitu sebanyak RM10,000 di bawah OFS berbanding RM5,000 sebelum ini.

Sementara itu, had kewangan bagi pertikaian yang melibatkan saluran seperti perbankan Internet, perbankan mudah alih, mesin juruwang automatik dan penggunaan cek yang tidak dibenarkan, kekal pada RM25,000.

OFS diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 bagi menyediakan ruang yang adil dan cekap kepada pengguna kewangan untuk menyelesaikan pertikaian terhadap penyedia perkhidmatan kewangan.

"OFS mendapat kuasa di bawah akta berkenaan yang membolehkan kami memberi arahan kepada penyedia perkhidmatan kewangan supaya mengambil langkah tertentu yang ombudsman fikirkan sesuai," kata Lee.

Beliau menasihatkan pengadu yang mahu mendapatkan khidmat OFS supaya memastikan dokumen mereka lengkap.

Maklumat lanjut mengenai senarai semak keperluan dokumentasi, skop skim ombudsman kewangan dan bidang tugas OFS, boleh diperoleh menerusi www.ofs.org.my - BERNAMA