Bagi meningkatkan kemampanan minyak sawit, kerajaan telah menyenaraikan empat dasar termasuk pemetaan kawasan perladangan kelapa sawit negara dan membolehkannya diakses orang ramai, kata Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Tan Yew Chong.

Beliau berkata dasar itu telah mendapat persetujuan Kabinet dan dijangka dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang.

"Kami mahu ia disediakan dalam tempoh suku pertama 2020 dan setakat ini kira-kira enam negeri sudah bersedia," katanya kepada pemberita di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa langkah itu sama sekali tidak akan menjejaskan keselamatan negara.

"Pemetaan itu hanya untuk orang ramai mengetahui mengenai kawasan ladang kelapa sawit, sekurang-kurangnya mereka tahu lokasi penghutanan semula," katanya.

Tiga lagi dasar ialah mengehadkan jumlah kawasan tanaman kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar, menghentikan tanaman baharu di kawasan tanah gambut dan menyekat penukaran status hutan simpanan bagi penanaman kelapa sawit.

Sementara itu, Tan juga berkata Indonesia dan Malaysia, kedua-duanya ialah ahli Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), akan turut menubuhkan dana anti-minyak sawit, dan ia akan digunakan untuk menangani diskriminasi terhadap minyak sawit, terutama kempen yang dijalankan Kesatuan Eropah (EU).

"Kami akan menentukan mekanismenya namun ia terlebih dahulu akan berdasarkan program dan aktiviti kami," katanya tanpa mengulas lanjut aspek itu.

Mengenai langkah kerajaan Perancis untuk menghapuskan pelepasan cukai bagi penggunaan minyak kelapa sawit sebagai bahan api bio, beliau berharap agar cadangan itu masih diterima oleh dewan perhimpunan kebangsaan negara tersebut.

Parlimen Perancis memutuskan untuk menghapuskan pelepasan cukai bagi penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio pada Jumaat lepas, sehari selepas keputusan menyokong pelepasan cukai itu dikekalkan.

"Bagaimanapun, kelewatan (pelepasan cukai) hanya untuk Paris, yang kita panggil negara anggota...kita dapat memujuk negara itu kerana wujud dasar dalaman, tetapi bagi Akta Delegasi, untuk menyekat dan melarang bahan api bio minyak sawit keseluruhannya pada 2030, kita perlu melepasi tiga lapisan -- majlis EU, Parlimen EU dan Suruhanjaya EU," katanya.

Akta Delegasi itu adalah diskriminasi terhadap ekonomi negara-negara membangun di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin yang mengeluarkan minyak sawit.

-- BERNAMA