Kerajaan Negeri Pahang akan terus berusaha mempertingkatkan pelaburan ke negeri ini, termasuk mempelbagaikan program untuk menarik perhatian pelabur asing.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Kerajaan Negeri juga menyedari keperluan pelaksanaan kaedah baharu untuk memenuhi kehendak pelabur dengan meningkatkan kemudahan bagi pembangunan akan datang.

"Kita memang tidak melakukan misi pelaburan ke luar negara tetapi menghantar wakil menyertai misi sama (anjuran) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Golf Mesra Pelabur Negeri Pahang 2017 di Mahkota Golf & Country Club (MGCC) anjuran kerajaan negeri itu menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, dekat sini pada Ahad.

Mengulas penganjuran acara berkenaan, Adnan berkata ia bagi menghargai peranan kalangan pelabur dan pihak berkaitan selain mengeratkan hubungan mereka.

"Ia adalah antara usaha Kerajaan Negeri meningkatkan hubungan pelabur dengan syarikat-syarikat di Pahang," katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail merupakan antara 96 peserta acara itu selain wakil pelabur dan syarikat di sekitar Pahang.

-- BERNAMA