Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2015 dijangka meraih jualan sehingga RM135 juta dan menarik lebih 85,000 pelawat untuk edisi semasanya.

Presiden MATTA Hamzah Rahmat berkata tahun lepas, pameran MATTA pertama yang berlangsung pada Mac menarik 90,273 pelawat manakala pameran pada September dikunjungi 82,000 orang.

"Pameran edisi Mac menampilkan 1,124 gerai yang menyediakan pakej-pakej dan perkhidmatan berkualiti dan lebih 400 gerai khusus menawarkan pakej domestik yang memberi pulangan nilai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

"Dengan MATTA memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pelancongan domestik seperti yang digesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ini akan membantu ramai pemain industri untuk mencapai sasaran susulan beberapa insiden malang pada 2014," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran itu.

Antara yang mengambil bahagian ialah Costa Crociere, Air Mauritius, Bangkok Airways, Pertubuhan Pelancongan Korea, India Tourism, Kedutaan Amerika Syarikat dan Jabatan Pelancongan Filipina.

Selain itu, ejen pelancongan, pengusaha pelancongan, pertubuhan pelancongan kebangsaan, syarikat kapal persiaran dan pertubuhan berkaitan produk dan perkhidmatan turut menyertai pameran itu yang bermula hari ini.

Pameran tiga hari itu di Pusat Dagangan Dunia Putra dibuka kepada orang ramai hingga Ahad.