Kalangan orang awam di Kesatuan Eropah (EU) masih terus memberi pandangan negatif terhadap minyak sawit atas alasan kaitan komoditi itu ke atas perubahan cuaca, impak alam sekitar dan perlindungan biodiversiti.

Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche berkata, persepsi itu masih ketara walaupun pelbagai usaha berterusan telah dilaksanakan bagi mempromosi industri sawit, mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan di EU serta mengukuhkan penglibatan dengan pengguna akhir.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar EU dan Malaysia saling mempertingkatkan kerjasama bagi mencari penyelesaian menangani kebimbangan serta sentimen orang ramai, khususnya mengenai isu kemusnahan hutan di rantau ini.

"Kita perlu menghadapinya secara bersama. Harapan saya adalah kita dapat bekerjasama dan bukannya berada di gelanggang untuk mengkritik satu sama lain tanpa mencari titik persefahaman.

"Ada banyak perkara atau kemungkinan yang perlu difahami kedua-dua belah pihak bagi memulihkan keadaan itu," kata beliau kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Mengulas selanjutnya, Laplanche berkata Perancis sendiri sedia maklum dan memahami kepentingan minyak sawit terhadap ekonomi Malaysia.

Malah, negara itu turut bertindak sebagai perantara dalam kalangan EU agar blok ekonomi itu tidak melaksanakan dasar diskriminasi terhadap komoditi itu, terutamanya yang menyentuh kepentingan pekebun kecil.

"Pada masa sama, saya sendiri selalunya amat berterus terang dengan rakan di kerajaan dan dengan orang ramai. Saya rasa kita perlu akui wujudnya masalah yang mengaitkan usaha memperluaskan penanaman sawit itu dengan kemusnahan hutan," katanya.

Beliau berkata, walaupun Perancis tidak boleh mengarahkan Malaysia dari segi keputusan yang perlu diambil, hakikatnya pandangan awam di Eropah amat sensitif terhadap isu perubahan cuaca, alam sekitar dan perlindungan biodiversiti.

Pada Januari lepas, Parlimen Eropah mengundi untuk memilih rang undang-undang tenaga boleh diperbaharui yang menggesa pengharaman minyak sawit daripada program biodiesel menjelang 2021 -satu keputusan yang boleh menjejaskan berjuta-juta penanam sawit di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

EU memberi alasan, minyak sawit yang digunakan secara meluas, boleh menjejaskan cita-cita Eropah bagi melestarikan sektor pengangkutan sekiranya komoditi itu digunakan sebagai biodiesel.

Komoditi itu juga merupakan eksport utama Malaysia ke EU yang menyumbang 49 peratus daripada import dari rantau ini.

Bagaimanapun, industri minyak sawit Malaysia baru-baru ini mendapat kelegaan singkat selepas EU melonggarkan pendiriannya berhubung penggunaan minyak sawit dalam kalangan negara anggotanya dengan membenarkan larangan merujuk kelapa sawit dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui yang dikemaskini.

Ini dicapai susulan Trilog EU antara Parliman EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun lepas.

Mengikut cadangan asal, larangan berhubung penggunaan minyak sawit dalam biobahan api menjelang 2021 perlu dimasukkan dalam arahan itu.

Pada bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kunjungan rasmi ke Indonesia berkata Kuala Lumpur dan Jakarta yang juga pengeluar terbesar minyak sawit di dunia, telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menangkis kempen anti-minyak sawit di Eropah.

- BERNAMA