Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menangani masalah yang dihadapi oleh sesetengah industri dalam mendapatkan pinjaman bank.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menyelaras dengan Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, perbankan komersial dan pemain industri untuk tujuan tersebut.

"Sebut sahaja beberapa industri," kata Ahmad Husni tanpa mendedahkan industri yang terbabit dalam isu itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri Bajet 2016: Mesyuarat Kumpulan Fokus mengenai Pengukuhan Prestasi Eksport, di kementeriannya, di sini hari ini, berkata perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

"Kami mahu menyelaraskan semua (pihak yang berkenaan). Kami telah berbincang dengan bank pusat dan ia bersetuju dengan cadangan itu," katanya.

Beliau berkata mesyuarat berbincang mengenai kaedah untuk mempertingkat eksport negara dan satu daripadanya ialah aspek logistik.

"Sesetengah produk kita dieksport ke negara tetangga dan negara terbabit mengeksportnya semula kepada pengguna mewah.

"Kita boleh pertingkat dengan mengeksportnya secara langsung," katanya.

Ahmad Husni berkata pada perbincangan itu juga sesetengah persatuan menyentuh tentang dasar beli barangan tempatan oleh kerajaan yang didakwa mereka tidak dilakukan sepenuhnya.

"Kami terima (pekeliling) namun kami akan semak dengan semua kementerian dan agensi berhubung perkembangannya.

"Berikutan penurunan ringgit, kami mahu melihat lebih banyak pertumbuhan terutama berkaitan kontrak tender. Kami mahu mereka memberi penekanan kepada produk tempatan," katanya.