Kumpulan pemaju hartanah Mah Sing mengunjurkan segmen hartanah akan berkembang pada suku kedua tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Ng Chai Yong, sentimen pembeli yang skeptikal mengenai kelembapan ekonomi tidak memberi kesan besar kepada syarikat.

Walau bagaimanapun sentimen negatif yang wujud pada 2015 terus membelenggu pasaran hartanah bagi 2016.

"Untuk 2016, kami menjangkakan pasaran (hartanah) akan lebih baik pada suku kedua nanti. 2-3 tahun yang lalu, pembeli sangat berhati-hati.

"Apabila kami lancarkan produk yang betul dengan lokasi yang strategik dan harga yang berpatutan, akan ada permintaan," katanya selepas melancarkan kempen ganjaran baru Mah Sing di sini.

Beliau yakin permintaan akan kekal wujud disokong data pengangguran yang masih rendah.
Kami yakin ekonomi akan bertambah baik. Kadar penggangguran di Malaysia juga agak rendah.


"Kami yakin ekonomi akan bertambah baik. Oleh kerana pekerjaan bukan satu isu, maka kadar penggangguran agak rendah di Malaysia.

"Dengan harga yang betul, ia akan membantu pembeli membeli (rumah) dengan mudah. Jadi sentiasa akan ada permintaan," katanya.

Chai Yong berkata harga hartanah Mah Sing masih dianggap berpatutan sesuai dengan lokasi sesuatu projek.

Hartanah Mah Sing masih mampu milik

Sementara itu, Mah Sing turut berkata bahawa projek pembagunan mereka boleh dikategorikan sebagai mampu milik.

Jelas Chai Yong, syarikatnya bakal melancarkan beberapa projek yang harganya dalam lingkungan RM400,000 - RM500,000.

“Kami akan melancarkan beberapa produk yang mampu dimiliki oleh semua. Contohnya, projek di Southview berharga RM400,000. Lokasinya pun amat baik.

“Mereka yang tidak mampu memiliki rumah akan mempertimbangkan untuk beli di kawasan ini kerana ia tidaklah jauh sangat (daripada bandar),” katanya.

Mah Sing turut mempunyai program khas ’10-90’ yang memudahkan pembeli untuk membayar 10 peratus bayaran pendahuluan dan baki 90 peratus hanya perlu dijelaskan apabila projek siap sepenuhnya.

Tambahnya, walaupun syarat-syarat institusi perbankan untuk mendapatkan pinjaman perumahan semakin ketat, rekod bersih syarikatnya memudahkan peminjam untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.

“Dengan pinjaman daripada bank, Mah Sing berada pada peringkat tahap satu. Kami mempunyai kelebihan daripada pemaju yang lain.

Kami mempunyai kelebihan daripada pemaju lain. Oleh itu, bank tidak mempunyai masalah untuk memberi pinjaman.

“Oleh itu, bank tidak mempunyai masalah untuk memberi pinjaman kepada pembeli. Kami juga mempunyai risiko pemaju yang kurang kerana projek kendalian Mah Sing tidak begitu banyak dan dijamin akan siap,” kata Chai Yong.

Beliau turut menasihatkan bahawa meskipun keadaan ekonomi tidak menentu, orang ramai perlu lebih berhati-hati apabila membuat pelaburan dengan hanya membeli rumah yang mampu dimiliki dan tidak berbelanja secara berlebihan.