Penjualan RM1.05 bilion saham di Bursa Malaysia baru-baru ini adalah akibat faktor luar seperti pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS), ketegangan dagangan AS-China, serta ketidaktentuan hala tuju pasaran Eropah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Selain itu, beliau berkata, berlaku juga tekanan ke atas pasaran minyak mentah susulan kehilangan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi, selain berlaku trend aliran keluar modal asing di pasaran ekuiti ASEAN seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Kerajaan Pakatan Harapan (bagaimanapun) akan sentiasa berusaha menangani masalah fiskal warisan kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional,” kata ahli Parlimen Bagan itu ketika menjawab soalan dari Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sewaktu sesi Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad ingin mengetahui punca pelabur asing diberitakan telah menjual RM1.05 bilion saham di Bursa Malaysia pada minggu lepas.

Selain itu, beliau juga ingin mengetahui nilai jumlah jualan seumpama itu sejak 10 Mei 2018, sama ada ia merupakan sesuatu yang luar biasa dan bagaimana usaha Kementerian Kewangan untuk mengatasinya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, segala jawapan yang diberikan Lim hanya menyebut mengenai faktor luaran, dan ia seolah-olah menidakkan fakta bahawa keluaran modal asing itu turut disebabkan faktor dalaman.

Menjawab persoalan berkenaan, Lim yang juga Setiausaha DAP menjelaskan, penamatan kontrak MMC-Gamuda membabitkan pembinaan struktur bawah tanah Transit Aliran Massa 2 (MRT2) tidak boleh dilihat memberi kesan besar terhadap keputusan pelabur asing berkenaan.

“Tentang faktor yang menyebabkan penurunan, bukan akibat satu dua syarikat atau satu dua projek sahaja. Ia tidak ada kesan yang begitu besar

“Saya rasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi pasaran bursa seluruh dunia dipengaruhi perkembangan ekonomi, khususnya perang perdagangan AS-China,” jelasnya lagi.