Pengeluaran dana asing dari Bursa Malaysia terus menekan bursa saham tempatan.

Perkembangan ini masih berlaku walaupun penilaian saham-saham tempatan telah jatuh ke paras lebih murah.

Menurut Bloomberg, kira kira AS$2 bilion telah dikeluarkan oleh pelabur asing dari Bursa Malaysia tahun ini.

Ini menjadikan bursa tempatan ditakrif sebagai bursa dengan prestasi paling lemah di Asia.

Penangguhan atau pembatalan projek infrastruktur mega, kelemahan ringgit serta ketidaktentuan peralihan kuasa dikatakan menjadi faktor yang menjejaskan sentimen pelabur luar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EquitiesTracker, Alvin Vong, situasi ini turut dimangkin oleh pendapatan sektor korporat yang lemah.

“Jika kita lihat angka pendapatan korporat terkini berbanding tahun lepas, ia secara amnya lebih lemah, jadi tiada ada faktor penggalak untuk pelabur asing ingin kembali melabur ke Bursa Malaysia buat masa ini,” ujarnya.

Bursa Malaysia mengalami penarikan keluar dana asing terbanyak di Asia sejak kira-kira setahun lalu.

Alvin bagaimanapun berkata, kerajaan tiada pilihan selain melihat semula projek pembangunan infrastruktur bagi menguruskan hutang negara.

“Pada saya, belanjawan lalu agak baik. Ia agak berhemah, ia kelihatan seperti belanjawan yang bertanggungjawab meskipun tahap hutang kerajaan agak hampir kepada RM1 trilion.

“Banyak juga kontrak (pembangunan infrastruktur) telah dirunding semula dan kerajaan pada Mac lalu berkata [projek] bernilai kira-kira RM14 bilion akan diteruskan,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Pakar Ekonomi IQI-Juwai, Shan Saeed, walaupun Bursa Malaysia menerima impak paling besar, banyak bursa tempatan turut senasib.

“Saya melihat pelabur asing bukan saja menarik dana keluar dari Malaysia, tetapi dari bursa serata ASEAN sejak dua suku lalu.

“Pengurus dana harus menyeimbangkan kedudukan mereka akhir tahun ini untuk menunjukkan keputusan (pelaburan) mereka ke ibu pejabat masing-masing," katanya.

Shan berkata, ini kerana pengurus dana asing perlu mula merangka strategi pelaburan mereka untuk tahun hadapan.

Bursa Malaysia mengalami penarikan keluar dana asing terbanyak di Asia sejak kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, Alvin optimis sentimen pelabur terhadap bursa tempatan akan kembali pulih tahun hadapan, selepas langkah-langkah pengurusan kewangan kerajaan serta inisiatif dalam Belanjawan 2020 mula memberi kesan.

“Apa yang pelabur ingin lihat ialah pengurusan hutang kerajaan dengan bertanggungjawab. Pelabur akan lihat perkara-perkara seperti defisit pendapatan dan belanjawan kerajaan.

“Kalau kita lihat pada prestasi eksport, negara sebenarnya mencapai lebihan dagangan secara konsisten.

“Saya percaya ramai pelabur asing akhirnya akan kembali, tetapi sudah tentu pendapatan korporat juga perlu meningkat untuk mereka berbuat demikian,” katanya.

Shan berkata, kerajaan juga perlu memantapkan dialog dengan komuniti pelabur antarabangsa bagi menambah baik sentimen mereka terhadap ekonomi Malaysia.

“Strategi dialog dengan pengurus dana perlu ditambah baik supaya mereka melabur dengan banyak.

“Pemegang taruh perlu diberi taklimat menyeluruh mengenai keadaan ekonomi supaya mereka memahami realiti kini.

“Terbitkan siaran akhbar juga dengan lebih kerap kepada pelabur tempatan dan asing. Komunikasi adalah penting, untuk memanfaatkan peperangan perdagangan kini serta dan kelas menengah yang semakin meningkat di Afrika,” kata beliau lagi.