Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejumlah besar wang pelaburan untuk pembangunan tapak Stesen Jana Kuasa Battersea di sini diperoleh daripada institusi kewangan.

Untuk itu, tidak ada sebab rakyat perlu bimbang mengenai pengaliran wang negara untuk membiayai projek pembangunan bersepadu itu, yang akan dibangunkan oleh konsortium terdiri daripada SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata beliau pada sidang akhbar kepada wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja selama empat hari ke United Kingdom di sini Khamis.

Konsortium itu telah membeli harta tanah seluas 15.6 hektar (39 ekar) pada Julai 2012 dengan harga 400 juta pound sterling bagi pembangunan lapan fasa dalam tempoh 10 tahun dengan nilai pembangunan kasar sebanyak lapan bilion pound sterling, termasuk membina 3,500 rumah, pejabat, kedai dan sebuah taman di barat daya London.

Najib berkata rakyat perlu melihat projek ini dari segi jangka panjang yang akan mendatangkan pulangan yang tinggi, termasuk kepada pihak individu yang membeli aset di projek ini.

Menyentuh mengenai penglibatan KWSP dalam projek ini, beliau berkata ianya akan memberi pulangan yang lebih tinggi kepada badan kewangan itu, berbanding jika tumpuan pelaburan hanya diberi kepada pasaran domestik sahaja.

Najib berkata projek Battersea itu, turut menarik minat kerajaan United Kingdom dan pasaran di sini, malah ianya juga turut memberi nafas baharu dalam hubungan Malaysia dan UK di bawah pimpinan David Cameron.

"Hubungan Malaysia dan UK kini berubah kepada "partnership of prosperity" dan bermakna," katanya.

Najib turut melahirkan penghargaannya kepada Cameron dan juga Datuk Bandar Kota London Boris Johnson yang telah dapat menyelesaikan segala proses mengenai pembangunan projek Battersea dalam masa yang singkat, termasuk keputusan pembangunan sambungan "northern line tube" ke Battersea dengan jaminan kewangan dari kerajaan untuk projek itu.

"Ini semua dianggap satu projek yang melambangkan hubungan tradisional Malaysia dan UK, yang diberikan nafas baru," katanya.

Najib berkata ini adalah antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antaranya dengan Cameron di Battersea (pada Khamis) sebelum bersama-sama merasmikan upacara pecah tanah projek terbesar yang membabitkan syarikat Malaysia di negara itu.

Beliau yang bangga dengan kemampuan konsortium Malaysia membangunkan projek Battersea berkata, "tentunya ia akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang ke hadapan dalam aspek pembangunan tanah, terutama di UK."

Najib juga berkata Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-9 yang akan diadakan daripada 29-31 Okt ini turut merapatkan hubungan antara Malaysia dan UK, dan memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan antara dunia Islam Islam dan negara Eropah, khususnya bandar raya London.

Najib berkata perbincangan hari ini turut menyentuh mengenai pendidikan hubungan antara manusia, serta mengenai bidang pertahanan.

Najib berkata beliau dan Cameron bersetuju mempertingkatkan kerjasama secara menyeluruh dalam bidang pertahanan, terutama dalam pertukaran maklumat dan juga soal peralatan ketenteraan, termasuk pembelian peralatan terkini.