Berita  | Bisnes

Pelaburan Langsung Asing Malaysia meningkat 250 peratus - Guan Eng

Pelaburan Langsung Asing Malaysia meningkat 250 peratus - Guan Eng
Guan Eng berkata eksport pula meningkat 17.7 peratus kepada RM96.4 bilion pada bulan Oktober. - Foto Astro Awani
KUALA LUMPUR: Jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia untuk tempoh 9 bulan pertama 2018 meningkat 250 peratus kepada RM49 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

“Pelaburan ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

“Dari segi prestasi, pasaran saham Malaysia pula adalah yang kedua terbaik dalam Asia Pasifik bagi tahun 2018,” katanya menjawab dakwaan kononnya ekonomi Malaysia merudum.

Guan Eng berkata pada masa sama, kadar inflasi secara purata meningkat hanya 1 peratus tahun ke tahun untuk 11 bulan pertama 2018 disebabkan pertukaran regim cukai dari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Kadar inflasi dijangka terkawal dalam masa terdekat disebabkan oleh harga bahan bakar yang rendah selain nilai ringgit juga meningkat kepada RM4.14 berbanding AS$1,” katanya.

Malaysia juga katanya mempunyai lebihan akaun semasa yang tinggi pada RM22.7 bilion bersamaan 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat September 2018.

“Ini salah satu faktor mengapa agensi penarafan antarabangsa telah memutuskan untuk mengekalkan penarafan kredit Kerajaan dan juga mendorong Bloomberg untuk menobatkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam senarai 20 pasaran baru muncul untuk tujuan pelaburan,” katanya.

Guan Eng menjawab sebuah artikel yang diterbitkan pada Oktober 2018 yang memetik beberapa laporan yang menggunakan statistik lama dan kurang memberangsangkan.

“Artikel berusia lebih daripada 2 bulan tersebut merujuk kepada angka perdagangan bagi bulan Ogos 2018 dengan menyatakan bahawa lebihan dagangan bagi bulan tersebut yang berjumlah RM1.6 bilion adalah yang terendah dalam tempoh 45 bulan sebelumnya.

“Sebenarnya, persepsi yang diberikan oleh angka bulanan adalah tidak tepat kerana ia tidak mampu menggambarkan prestasi ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun,” katanya.

Guan Eng berkata dua bulan selepas angka itu diterbitkan, lebihan dagangan bagi bulan Oktober meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu pada RM16.3 bilion.

Selain itu Guan Eng berkata eksport pula meningkat 17.7 peratus kepada RM96.4 bilion pada bulan Oktober.

“Oleh itu, kita janganlah mudah beralih arah hanya kerana perubahan jangka masa pendek terutama sekali apabila gambaran keadaan ekonomi yang menyeluruh hanya boleh diberikan secara komprehensif dengan trend yang berjangka masa lebih panjang,” kata Guan Eng.

Tag: Lim Guan Eng, GST, KDNK, Ringgit, rakyat Malaysia, pelaburan, FDI, Pelaburan Langsung Asing, Pelabuhan, Ekonomi, Ekonomi Malaysia, Kementerian Kewangan, MoF, Pekerjaan, Lebihan akaun, inflasi, harga minyak


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.