Institut Automotif Malaysia (MAI) akan meningkatkan lagi aktiviti pengurangan kos di kalangan pembekalkomponensektor automotif bagi membolehkan mereka mengoptimumkan sumber.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Madani Sahari, aktiviti ini turut meningkatkan produktiviti mereka sekali gus mampu diterjemah kepada harga kenderaan yang stabil terutamanya semasa kemerosotan nilai ringgit.

Madani turut mengatakan, lebih 200 pembekal terbabit dalam aktiviti pengurangan kos dengan lebih RM600 juta penjimatan berjaya direkodkan tahun lalu.

"Pada tahun ini, bulan Januari hingga bulan Jun, kita jalankan, meneruskan juga aktiviti ini dan sekarang lebih 100 syarikat yang telah melaksanakan aktiviti supaya operasi kos pengeluaran berada ditahap optimum" kata Madani.

Selain itu, MAI turut mengalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan pakar yang sudah dilatih.

Setakat tahun lalu, 8,700 tenaga kerja mahir berjaya dilatih dan digunapakai industri.

Madani juga berpendapat kelemahan ringgit memberi impak positif kepada eksport komponen kenderaan dari Malaysia ke pasaran luar.

"RM14.8 bilion dengan peningkatan 2.7 peratus separuh pertama direkodkan tahun lepas" katanya.

Peningkatan eksport itu menyeimbangkan kembali kos import bahan mentah bagi penghasilan komponen secara domestik.

Sementara itu, import komponen memerlukan syarikat membayar lebih mahal.

Tambah Madani, peningkatan kos import komponen pada masa ini hanya akan dirasai hujung tahun ini oleh pengguna. Ini adalah kerana, sistem belian komponen dan bahan mentah dilaksanakan tiga bulan lebih awal dari pengeluaran sebenar.

Ini termasuk kemungkinan peningkatan harga kenderaan.

Bagaimanapun pihaknya berhubung rapat dengan peserta industri bagi mencari penyelesaian dalam ketidaktentuan semasa termasuk pemberian insentif.