Kerajaan berjaya menjimatkan sekitar RM3.5 bilion susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejak 2009.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, strategi itu membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek dengan kos yang rendah namun berimpak tinggi.

Memberi contoh Pusat Transformasi Bandar (UTC), Datuk Seri Najib berkata ia telah membantu kerajaan menjimatkan RM1.5 bilion dengan mengubah suai dan menyusun semula bangunan sedia ada yang kurang dimanfaatkan pada kos serendah mungkin.

"Kerajaan menyediakan perkhidmatan baharu dan perlu untuk rakyat, dan menjimatkan wang. Malah, dengan tidak membina dari mula, kita menyelamatkan RM100 juta bagi setiap UTC," ujar beliau ketika menyampaikan ucaptama perasmian Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

UTC ialah pusat sehenti yang dibuka di seluruh Malaysia yang menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung dari 8 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu.

Datuk Seri Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 35.3 juta pengunjung memanfaatkan UTC antara Jun 2012 dan Julai 2016.

Selain itu, beliau berkata inisiatif lain seperti penugasan semula kira-kira 7,400 anggota polis di barisan hadapan keselamatan negara daripada tugasan di pejabat, turut menjimatkan sebahagian besar wang kerajaan.

"Menerusi penugasan semula, dan tidak mengambil anggota baharu, latihan dan membayar gaji pegawai baharu, kerajaan menyelamatkan RM1.3 bilion.

"Jika tidak, kerajaan perlu berbelanja, manakala tugasan pejabat diisi oleh penjawat awam dari jabatan lain, yang memerlukan penyelarasan dilakukan," katanya.

Malah, kata beliau, latihan bersama dan kerjasama antara polis dan angkatan tentera menerusi inisiatif NBOS, memberi manfaat besar terhadap keselamatan negara.

Beliau berkata usaha sama polis-tentera yang berkongsi kemudahan latihan turut menjimatkan RM700 juta wang kerajaan, dengan tidak perlu membina pusat-pusat latihan polis yang baharu.

"Hakikatnya, kita nampak prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan memberi impak yang tinggi pada kos rendah dan pelaksanaan tindakan yang pantas," kata beliau.

Turut hadir pada perasmian itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Raja Mswati III dari Swaziland, Presiden Republik Nauru Baron Waqa, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-O-cha, Naib Presiden Republik Maldives Abdullah Jiha, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.