Peluang perniagaan di Malaysia dibentangkan kepada persatuan perdagangan utama India pada seminar yang diadakan di New Delhi untuk menggalakkan hubungan ekonomi dua hala.

Para pegawai daripada beberapa agensi kerajaan Malaysia menekankan bidang yang berpotensi bagi pertumbuhan perniagaan pada "Sesi Interaktif mengenai Menjalankan Perniagaan dengan Malaysia" anjuran bersama Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India (FICCI) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Perdagangan antara Malaysia dan India meningkat sebanyak 9.9 peratus kepada AS$7.7 bilion pada separuh pertama 2018 dan kedua-dua negara berharap untuk mencapai sasaran mereka sebanyak AS$15 bilion bagi perdagangan tahunan menjelang 2020, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Jumlah perdagangan pada tahun lepas naik 21.6 peratus kepada AS$14.3 bilion.

Hidayat berkata Malaysia terkenal dengan pengukuhan dalam bidang seperti infrastruktur, penjagaan kesihatan, pembinaan, minyak sawit dan produk petroleum dan banyak syarikat utama Malaysia aktif di India.

Beliau berkata syarikat India turut meningkatkan kedudukan mereka di Malaysia dalam sektor seperti farmaseutikal, kejuruteraan dan teknologi maklumat.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari India. Ahli FICCI boleh meninjau lebih banyak peluang pelaburan di Malaysia.

"Kami ingin menggalakkan lebih ramai pengimport mendapatkan sumber dari Malaysia memandangkan kami mempunyai perjanjian perdagangan dua hala iaitu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan perjanjian perdagangan serantau ASEAN-India FTA (AIFTA)," katanya.

Agensi Malaysia yang menyertai acara itu pada Isnin termasuklah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tourism Malaysia, Majlis Kayu Kayan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

-- BERNAMA