Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan sesetengah pihak yang mempolitikkan pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji (TH) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini kerana pembelian pada Disember 2015 itu sebenarnya satu pelaburan bijak dan berbaloi oleh syarikat tersebut.

"Dulu TH beli tanah tersebut pada harga RM1,800 sekaki persegi.

"Saya tanya tadi pada Ketua Pegawai Eksekutif, ada pihak nak beli tanah tersebut pada harga RM2,200 sekaki persegi. Maksudnya ada untung," katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Yayasan TH, penghargaan sahabat korporat dan rumah terbuka TH di Kompleks TH Kelana Jaya hari ini.

Beliau menegaskan, pulangan daripada pelaburan tersebut dan lain-lain inisiatif TH akhirnya akan dinikmati pendeposit TH, selaras tumpuannya kepada soal kebajikan dan kepentingan jemaah haji Malaysia.

Ia terlihat dengan kadar yuran haji sebanyak RM9,980 yang tidak pernah dinaikkan sejak tahun 2009, biarpun segala macam perkara mengalami kenaikan harga ketika ini.

Katanya, setiap tahun TH menanggung subsidi RM160 juta secara keseluruhannya, di mana setiap seorang menerima bantuan subsidi hampir RM8,000, sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh kebanyakan negara Islam lain di dunia.

Sementara itu dalam sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah memaklumkan, tanah yang dibeli TH di TRX itu bukan untuk dijual memandangkan ia dilihat mempunyai nilai tambahan yang tinggi bagi tempoh jangka masa panjang.

"Daripada mula pembelian tanah tersebut adalah berdasarkan komersial, kita buat penilaian dari segi jangka masa panjang.

"Sekarang juga kita ada tawaran yang tinggi, tetapi kami tidak mahu menjualnya kerana kami percaya dengan penghasilan nilai jangka panjang daripada pelaburan itu (tanah di TRX)," maklumnya.

Beliau memaklumkan, ketika ini TH sedang berbincang dengan beberapa firma arkitek untuk konsep dan perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan di tanah tersebut.

Berhubung Yayasan TH, ia dilancarkan dengan objektif meningkatkan pendidikan, memberi bantuan ketika bencana atau musibah dengan peruntukan fasa pertama sebanyak RM5 juta.

Fokus utama penubuhannya adalah untuk pembangunan modal insan serta menggalakkan kajian dalam bidang pendidikan Islam, perbankan Islam dan perundangan syariah.

Ia sejajar saranan Perdana Menteri untuk menggalakkan syarikat swasta, badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lebih aktif dalam pembangunan dan kebajikan rakyat.