CIMB Group Holdings Bhd hari ini menyambut baik tindakan pengawal selia Indonesia dan Malaysia untuk memberi lebih akses kepada bank mereka kepada pasaran masing-masing, yang positif untuk industri bank di kedua-dua negara.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, tindakan itu menawarkan dorongan tambahan kepada Kumpulan CIMB untuk mengembangkan perniagaan sedia ada di Indonesia, terutama dalam segmen Islam dan pengguna, di mana terdapat banyak peluang pertumbuhan berikutan penduduk 260 juta republik berkenaan.

"Sebagai satu daripada lima bank terkemuka di Indonesia dari segi saiz dengan pangkalan pelanggan semasa 3.6 juta dan keputusan kukuh pada separuh pertama 2016, CIMB Niaga sudah bersedia untuk pertumbuhan seterusnya.

"Persetujuan Indonesia-Malaysia adalah langkah penting ke arah integrasi ekonomi ASEAN, membuka jalan untuk CIMB terus menyampaikan usul perbankan universal ASEAN," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Selasa.