Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menggunakan pembiayaan daripada koperasi untuk membangunkan perniagaan mereka bagi menerima pakai teknologi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

"Koperasi biasanya ditubuhkan, apabila ada pihak yang mahu mengasaskan perniagaan dengan memasukkan sedikit unsur pendanaan awam dan kepercayaan (oleh anggota) dalam perniagaan itu," katanya kepada pemberita semasa ACCA SME Workminar 2018 di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan kepada ciri-ciri ini, koperasi boleh menjadi sumber pembiayaan alternatif khususnya dalam bidang, dimana bank serta institusi pembiayaan yang lebih berasaskan keuntungan enggan menghulurkan pinjaman.

Katanya, PKS yang cuba meningkatkan aktiviti pembangunan keusahawanan mereka boleh juga memohon pembiayaan daripada Bank Rakyat, sebuah bank koperasi di bawah seliaan kementerian itu.

"Anda dialu-alukan datang kepada Bank Rakyat dan ada dana yang tersedia," katanya.

Redzuan berkata, antara bidang yang menjadi fokus dalam penggunaan Industri 4.0 adalah pengeluaran makanan halal.

"Anda boleh lakukan secara serta merta (menerima pakai Industri 4.0 dalam pengeluaran makanan halal). Ia mempunyai potensi dan kami juga telah menarik minat daripada Jepun dan China," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai Belanjawan 2019, berkata kementerian itu, sepatutnya diberikan pengurusan langsung yang lebih banyak ke atas dana RM4.5 bilion yang diperuntukkan kepada PKS.

"Saya berhasrat untuk menguruskan bahagian dana yang lebih besar," katanya.

Persidangan sehari itu, bertemakan, 'Lead the Transformation, Own the Disruption', membincangkan pelbagai topik mengenai peluang-peluang bagi PKS dalam menggunakan strategi disruptif.