Pemegang saham meluluskan pembentukan AirAsia Group Bhd, yang kemudiannya akan mengambil alih status penyenaraian syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, di Bursa Malaysia.

Menerusi perjanjian pertukaran saham satu untuk satu, AirAsia Group akan muncul sebagai sebuah entiti pegangan pelaburan manakala AirAsia akan memberi tumpuan kepada oeprasi syarikat penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Group, Tan Sri Tony Fernandes kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa syarikat itu di sini hari ini.

Pembentukan AirAsia Group Bhd dijangkakan selesai pada Mac 2018.

Langkah itu akan menjadikan AirAsia sebagai sebuah unit ekonomi dan menyelaraskan struktur operasinya.

"Ini akan membolehkan pelabur memahami dengan lebih baik mengenai syarikat itu. Kami berharap menyepadukan kesemua (sekutu) ASEAN kami tidak lama lagi. Thailand selepas ini," katanya. -- Bernama