Pengumuman agensi antarabangsa Fitch Ratings Inc. yang memberi prospek stabil kepada Malaysia berbanding negatif sebelum ini membantu meningkatkan pendapatan negara sekaligus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mungkin rakyat tidak menyedari kesan penarafan tersebut kepada mereka dan ekonomi negara khasnya.

"Kesannya ialah apabila penarafannya baik, ekonomi juga akan lebih kukuh, hasil serta pendapatan negara juga bertambah.

"Apabila ia bertambah maka lebih mudah untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan dengan lebih pesat dan menyeluruh ke setiap pelusuk negara," katanya.

Najib berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada warga emas di Masjid Kg Merchong, di sini pada Sabtu.

Fitch Ratings pada Rabu lalu menyemak naik unjuran Malaysia kepada stabil, menyuntik kelegaan kepada pasaran tempatan, sekaligus melenyapkan kebimbangan tentang kegawatan ekonomi negara sebelum ini.

Najib berkata, pengiktirafan itu menunjukkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional berjaya membawa ekonomi negara di landasan yang betul.

Katanya penarafan itu tidak akan diperoleh jika urus tadbir negara lemah.

Najib kemudian turut menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat sunat hajat mendoakan kesejahteraan kepimpinan Perdana Menteri, bersama lebih 500 penduduk Kampung Merchong.

Terdahulu pada sebelah petang, Najib meluangkan masa bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengacau bubur lambuk di kediaman beliau di Seri Kenangan, di sini untuk diagih-agihkan kepada penduduk di kawasan sekitar.