Penarafan terbaharu oleh Fitch Ratings ke atas prospek ekonomi Malaysia mencetuskan sentimen positif dalam pasaran pertukaran asing tempatan, melonjakkan ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini.

Pakar Ekonomi Hong Leong Investment Bank (HLIB), Sia Ket Ee berkata peningkatan penarafan itu yang merupakan satu kejutan kerana pasaran rata-ratanya menjangkakan penurunan penarafan satu mata, telah membantu mengurangkan tekanan ke atas ringgit.

"Terdapat banyak faktor yang memberi tekanan kepada ringgit, termasuk ancaman penurunan penarafan Fitch, kejatuhan harga minyak dan komoditi global dan keadaan tidak menentu dalam dasar monetari antarabangsa.

"Dengan peningkatan penarafan Fitch, satu daripada faktor tidak menentu telah dikeluarkan," katanya kepada Bernama.

Ringgit dibuka kukuh pada 3.7330/7380 berbanding dolar AS daripada 3.7740/7770 pada penutupan semalam.

Fitch mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada 'A-' dan IDR mata wang tempatan pada 'A'.

Prospek bagi IDR jangka panjang disemak semula kepada stabil daripada negatif.

Fitch berkata prospek stabil itu mencerminkan penilaiannya bahawa risiko meningkat dan menurun ketika ini sedang diseimbangkan secara meluas.

Daripada tujuh pemacu penarafan, tiga ditakrifkan sebagai positif, iaitu kewangan fiskal yang bertambah baik, kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang positif dan keanjalan pembiayaan fiskal.

Selebihnya -- mudah tunai luaran yang lemah; penurunan lebihan akaun semasa; peningkatan liabiliti luar jangka; tahap purata pendapatan lebih lemah, dilihat sebagai petunjuk negatif.

"Kami mengekalkan jajaran unjuran ringgit pada RM3.55-RM4.00 berbanding dolar AS bagi separuh kedua 2015, dengan unjuran pertengahan pada RM3.70," kata Sia.

Beliau menjangkakan mata wang tempatan itu diniagakan pada RM3.70 berbanding dolar AS pada akhir tahun.

Bagaimanapun, Sia berkata, isu perbezaan yang meluas dalam dasar monetari di ekonomi-ekonomi utama seperti kadar faedah AS, krisis hutang zon Eropah serta penurunan mudah tunai di Jepun, akan terus mempengaruhi pergerakan ringgit pada masa hadapan.

"Walaupun harga minyak global telah pulih, Malaysia masih terdedah kepada harga komoditi yang tidak menentu," katanya.

Sia berkata Bank Negara dijangka mengekalkan kadar dasar semalamannya tidak berubah pada 3.25 peratus tahun ini, memandangkan prospek pertumbuhan KDNK sederhana, kadar inflasi yang terkawal dan ketidakseimbangan kewangan negara.