KUALA LUMPUR:Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus menyaksikan impak penularan COVID-19 dan gangguan ekonomi terhadap prestasinya kewangannya.

Bagi tahun ini sehingga 30 September 2020, pendapatan syarikat itu susut kepada RM134.7 bilion, penurunan 24 peratus berbanding RM176.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut susut 41 peratus kepada RM43.4 bilion berbanding RM73.5 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Susulan itu, syarikat tersebut merekodkan Kerugian Selepas Cukai sebanyak RM19.9 bilion bagi tempoh tersebut, berbanding Keuntungan Selepas Cukai RM36.4 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

Trend yang sama turut disaksikan dalam perbandingan suku-ke-suku.

Bagi suku ketiga tahun 2020, Petronas menyaksikan penyusutan pendapatan sebanyak 25 peratus kepada RM41.1 bilion, berbanding RM55.1 bilion pada suku sama tahun lepas.

Dalam tempoh yang sama, syarikat itu turut mencatatkan Kerugian Selepas Cukai sebanyak RM3.4 bilion, berbanding Keuntungan Selepas Cukai RM7.4 bilion bagi tempoh sama yang lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, penularan COVID-19 terus menjadi cabaran utama kepada syarikat itu kerana ia menjejaskan permintaan minyak, yang menolak turun harga komoditi tersebut,

“Selepas mengharungi tempoh sembilan bulan yang agak mencabar, Petronas telah menyaksikan sedikit penambahbaikan prestasi pada suku ketiga 2020 berbanding suku sebelumnya, hasil pelonggaran kawalan pergerakan secara berperingkat yang membolehkan aktiviti ekonomi global diteruskan.

“Petronas terus mengambil langkah berjaga-jaga dan menjangka baki tahun 2020 akan terus mencabar.

“Kami menjangka prestasi Petronas akan terus dijejaskan oleh ketidaktentuan harga minyak akibat penularan COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin Petronas mempunyai momentum kukuh untuk melaksanakan pelbagai transformasi bagi mengharungi tempoh mencabar ini.

“Kami kekal fokus untuk membentuk semula portfolio syarikat, menstruktur semua aspek modal insan dan akan melaksanakan semua langkah yang perlu dengan cepat bagi menghadapi tempoh yang mencabar ini,” katanya.