KUALA LUMPUR:Astro Malaysia Holdings Berhad (AMHB) merekodkan prestasi memberangsangkan suku ketiga tahun kewangan yang berakhir 31 Januari 2021 dengan Pendapatan meningkat dua peratus kepada RM1.11 bilion.

Kuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) turut meningkat 23 peratus kepada RM165 juta.

Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX) pula turut meningkat 59 peratus kepada RM127 juta manakala Hasil Purata Setiap Pelanggan (ARPU) yang terjana dari perkhidmatan TV berbayar berada pada RM97.60.

Susulan prestasi itu, syarikat mengumumkan agihan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham.

“Di saat negara membuka semula sektor ekonomi secara beransur-ansur di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, Astro terus merekodkan peningkatan dalam prestasi kewangan syarikat untuk suku tahun ketiga.

"Penyata imbangan kewangan Astro kekal kukuh dan berterusan menjana pendapatan tunai, mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat," kata Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, syarikat turut merekodkan prestasi positif untuk dua suku berturut-turut dipacu kemampuan syarikat mengadaptasi cabaran dan perubahan landskap.

“Astro berjaya capai keputusan positif dalam laporan kewangan untuk kedua-dua suku tahunan secara berturut-turut, rata-rata disumbang oleh kemampuan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan cabaran dan perubahan landskap industri.

"Walaupun perlu berhadapan dengan beberapa sekatan pergerakan baru-baru ini, Astro sentiasa berada di posisi siap sedia yang membolehkan syarikat untuk terus menjalankan program-program dan rancangan siaran lansung namun dalam keadaan mematuhi setiap tatacara Pprosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berwajib," kata Henry dalam satu kenyataan.

Susulan kelonggaran syarat pergerakan selain permulaan semula penyiaran program-program utama, nilai ADEX syarikat kembali pulih pada suku ketiga selain kadar perkongsian tontonan TV melonjak kepada 73 peratus.

Selain itu, saluran membeli-belah dalam talian Go-Shop merekodkan pendapatan RM111 juta, peningkatan 19 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga.

Sementara jenama-jenama digital Astro yang lain seperti Astro AWANI, Gempak, Xuan dan Astro Ulagam mencatatkan sebanyak 13.4 juta pengunjung unik pada setiap bulan (MUV).

Dengan memiliki seramai lapan juta pengikut, Astro AWANI terus menjadi saluran nombor satu pilihan rakyat Malaysia untuk berita di platform media sosial.

Pendapatan pra-bayar NJOI turut bertambah sebanyak tujuh peratus pada suku sama selepas Astro mengembangkan perkhidmatan pek-pek kandungan dan pengedarannya.

Sehingga hari ini, Ultra Box Astro menyediakan perkhidmatan di 160,000 rumah.

“Pihak kumpulan syarikat kekal berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang impak yang berpontensi untuk berlaku apabila fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan semula, yang mana turut berkemungkinan akan disambung lagi.

"Di ketika industri media pada hari ini sedang melalui perubahan struktur dan usaha mencegah isu cetak rompak masih giat dilaksanakan, tempoh PKPB yang dilanjutkan pasti akan memberi kesan pada segmen pendapatan yang dijana menerusi aktiviti pengiklanan dan komersial,” kata Henry lagi.