Pendapatan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) meningkat empat peratus suku ke suku kepada RM1.09 bilion, bagi suku kedua tahun kewangan 2021 yang berakhir pada 31 Januari 2021.

Astro turut mencatat kenaikan keuntungan selepas cukai (PATAMI) sebanyak 81 peratus kepada RM134 juta bagi tempoh yang sama.

Susulan prestasi ini, syarikat penyiaran swasta itu turut mengumumkan dividen 1.5 sen sesaham, berbanding dividen 1.0 sen sesaham yang diumumkan pada suku pertama.

“Menerusi aktiviti ekonomi yang kini kembali bermula secara beransur-ansur, kami di Astro dapat melihat tanda-tanda pemulihan yang cukup positif di suku kedua tahun ini.

“Penyata imbangan kewangan Astro kekal kukuh di mana ia berterusan menjana pendapatan tunai, mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif daripada aspek pengurusan modal syarikat,” kata Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kumpulan Astro turut mengimbangi langkah-langkah proaktif tatkala berdepan persekitaran tidak menentu sehubungan penularan pandemik COVID-19.

“Kami mengambil langkah untuk menangguhkan beberapa inisiatif utama termasuklah aktiviti ‘upselling’, pemasangan dan pembikinan produksi rancangan realiti (reality show) atau program siaran langsung,” kata Tan.

Tambahnya, prestasi Go Shop dan pengenalan dekoder Ultra Box turut menyumbang kepada prestasi syarikat tersebut suku ini.

Pendapatan Go Shop melonjak 52 peratus suku ke suku kepada RM145 juta.

“Go Shop juga melebarkan cabang perniagaannya apabila menawarkan produk-produk segar dan beku yang telah merekodkan prestasi memberangsangkan,” katanya.

Pendapatan Go Shop melonjak 52 peratus suku ke suku kepada RM145 juta.

Saluran beli-belah itu turut menyaksikan jumlah pelanggan berdaftarnya meningkat 31 peratus tahun ke tahun kepada 2.6 juta orang.

“Perkhidmatan pemasangan kembali dilaksanakan dan kami lihat, Astro Ultra Box berjaya meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan lebih dari 100 ribu kotak pemasangan dibuat; meningkat 60 peratus dalam masa lebih dari tiga bulan,” tambah Tan.

Sementara itu, Astro mencatatkan peningkatan Susut Nilai Dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak 13 peratus suku ke suku kepada RM372 juta, jumlah pelanggan seramai 5.7 juta atau 75 peratus isi rumah Malaysia yang mempunyai televisyen, serta lonjakan pembelian Pay-Per-View sebanyak 40 peratus tahun ke tahun bagi separuh pertama 2020.

Ia turut mencatatkan peningkatan 66 peratus jumlah pelanggan aktif aplikasi Astro GO kepada 1.4 juta orang, dan peningkatan purata tontonan seminggu sebanyak 21 peratus tahun ke tahun kepada 561 minit.

“Melihat kepada situasi ketidaktentuan yang berlaku di saat kita melawan pandemik ini, serta
perubahan struktur dalam industri media dan tindakan cetak rompak yang masih lagi berlangsung, Astro kekal berjaga-jaga dalam merealisasikan sebarang perancangan di separuh kedua tahun ini.

“Kami sedar akan impak-impak yang berpotensi untuk berlaku ke atas pendapatan boleh guna pelanggan, terutamanya setelah mengambil kira sentimen moratorium yang akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami akan terus membantu para pelanggan komersial terutamanya, yang masih lagi terkesan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” kata Tan.