Berita  | Bisnes

Pendekatan 'Blue Ocean Shift' antara tunjang Global Entrepreneurship Community Summit 2017

Pendekatan 'Blue Ocean Shift' antara tunjang Global Entrepreneurship Community Summit 2017
ASHRAN: Tidak kira usahawan itu dalam sektor apa pun, kalau dia ada niat hendak berubah, niat untuk berinovasi, niat untuk berfikir masa depan, mereka mesti hadir ke acara ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Konsep Blue Ocean Shift, pendekatan inovasi dan pemikiran masa hadapan, adalah antara tunjang utama acara Global Entrepreneurship Community Summit 2017 yang akan berlangsung dari 12 hingga 13 Disember.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi, konsep Blue Ocean Shift boleh dipakai tidak kira tahap usahawan itu, atau perniagaan apa yang diasaskan.

“Pengarang Blue Ocean Shift, Professor Chan Kim dan Professor Renee Mauborgne akan memberikan satu pencerahan mengenai strategi pendekatan Blue Ocean Shift dalam bidang keusahawanan.

"Ia tidak kira sektor apa, dan tidak kira sama ada usahawan itu baru hendak berniaga, sudah berniaga atau pihak korporat,” katanya pada satu sesi Facebook LIVE bersama Astro AWANI pada Isnin, di Kuala Lumpur Convention Centre.
Katanya, dunia sekarang perlu berinovatif lebih pantas dan syarikat-syarikat korporat perlu mengambil pendekatan bertindak seperti syarikat start-up.


 


Selain itu, acara ini juga akan menampilkan sesi perbincangan bersama pemangkin industri yang dinamakan GEC Labs.

“GEC Labs ini boleh dikatakan sebagai nadi untuk Global Entrepreneurship Community Summit 2017. Kita ada lebih kurang 100 sesi Labs yang berlandaskan 15 tema atau sektor.

"Tidak kira usahawan itu berniaga di dalam sektor apa pun, kalau dia ada niat hendak berubah, niat untuk berinovasi, niat untuk berfikir masa depan, mereka mesti hadir ke acara ini,” katanya.

Selain itu, Dewan 1 hingga 5 di Kuala Lumpur Convention Centre menampilkan pelbagai pameran seperti Zon Inspirasi, Zon Pendidikan Keusahawanan dan Zon Dana.

“Ia dana daripada Malaysia dan dana daripada luar Malaysia. Ia satu peluang bagi usahawan yang memerlukan dana untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Usahawan di luar sana yang berminat untuk melonjakkan produk atau perkhidmatan mereka di luar Malaysia, ini adalah tempatnya,” katanya dalam sesi Facebook LIVE itu.