KUALA LUMPUR:Penerbit tersenarai yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya boleh mengadakan mesyuarat secara maya sepenuhnya.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan berkata, mengikut Nota Panduan yang dikemas kini mengenai Tata Cara Mesyuarat Agung bagi Penerbit Tersenarai, mesyuarat hibrid atau fizikal boleh diadakan di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau kawasan yang tidak dikenakan sebarang larangan pergerakan.

Sementara itu, suruhanjaya tersebut berkata, walaupun pejabat SC tetap dibuka sepanjang PKP, perkhidmatan aduan bersemuka ditangguhkan buat masa ini.

Orang ramai boleh terus menghantar e-mel pertanyaan atau aduan mereka kepada SC melalui [email protected] atau menghubungi talian hotline Aduan SC di +603 6204 8999 (9 pagi - 5 petang Isnin hingga Jumaat).

Terdahulu SC berkata sebagai penyedia perkhidmatan perlu di bawah sektor perkhidmatan, peserta pasaran modal boleh terus menjalankan dan menyediakan aktiviti dan perkhidmatan pasaran modal.

Ia adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sepanjang Ordinan Darurat dan pelbagai bentuk PKP

Peserta pasaran modal yang memerlukan surat pengesahan untuk memudahkan pergerakan perjalanan bagi pekerja mereka atau penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi fungsi kritikal boleh menghantar permintaan atau pertanyaan melalui e-mel ke [email protected].

Semua peserta pasaran modal diingatkan agar mematuhi SOP yang diguna pakai, termasuk memastikan hanya 30 peratus kakitangan pengurusan yang dibenarkan di premis dan penangguhan aktiviti penjualan dan pemasaran di luar premis atau di tempat awam bagi kawasan yang berada di bawah PKP.

-- BERNAMA