Pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) membuktikan usaha kerajaan untuk mengurangkan beban tambahan kos perjalanan pengguna luar bandar.

Penganalisis penerbangan dari Endau Analytics, Shukor Yusof berkata pengumuman itu akan memberi manfaat kepada perkhidmatan di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai bilangan pengguna yang rendah.

"Pengecualian GST ke atas RAS penting untuk operator seperti MASwings, dan langkah itu menunjukkan kerajaan berusaha mengurangkan kos tambahan bagi pengguna di luar bandar," katanya kepada Bernama.

Semasa pembentangan Bajet 2016 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengecualian GST ke atas tambang kelas ekonomi RAS memandangkan pengangkutan udara merupakan mod pengangkutan utama di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak serta Labuan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata pengecualian GST itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kos perjalanan.

"Dalam konteks sebenar dalam menggalakkan perjalanan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, pengecualian GST bagi laluan Timur-Barat iini wajar ditimbang dengan serius.

"Pelancongan domestik yang maju menjadi pemangkin pertumbuhan subsektor industri seperti hotel, perkhidmatan pengangkutan dan restoran.

"Pelancongan domestik juga baik untuk meningkatkan ekonomi negara ketika kedudukan ekonomi dunia tidak menentu selain kedudukan tukaran mata wang asing yang turun naik," katanya.