Berita  |  Bisnes

Pengekalan OPR pada 3.00 peratus sememangnya dijangka - Penganalisis

Pengekalan OPR pada 3.00 peratus sememangnya dijangka - Penganalisis
Kalangan penganalisis menyifatkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada Rabu, sebagai sesuatu yang dijangkakan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kalangan penganalisis menyifatkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada Rabu, sebagai sesuatu yang dijangkakan.

Mereka berpendapat, keputusan yang dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.

RHB Bank dalam satu kenyataan berkata, BNM menyedari ketidaktentuan ekonomi global dan perkembangan geopolitik yang menyebabkan kelemahan aspek kewangan dan pasaran tukaran asing serantau.
"Berikutan peningkatan kelemahan tukaran asing beserta kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (baru-baru ini), kami percaya ada kemungkinan bank pusat akan lebih berhati-hati dan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa 3.00 peratus pada 2017.

"Atas dasar itu, ada kemungkinan penurunan lebih lanjut akan dibuat jika pertumbuhan 2017 adalah di bawah sasaran serta ringgit lebih stabil pada paras kukuh," katanya.

BNM sebelum ini menyasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia 2017 dalam lingkungan 4.0 dan 5.0 peratus.

Sementara itu, OCBC Bank dalam kenyataan berasingan berkata, kelemahan tukaran asing global berkemungkinan menjadi faktor yang dipertimbangkan bank pusat itu bagi mengekalkan kadar OPR berkenaan.

"Sepertimana kebanyakan kami, bank pusat itu juga dapat merasakan bagaimana Trump dapat memberi kesan dari segi membentuk prospek pertumbuhan global serta implikasinya terhadap ekonomi Malaysia," kata bank itu.

OCBC juga menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada paras semasa di mesyuarat akan datang pada 19 Jan, 2017 yang kebetulan berlaku sehari sebelum tarikh majlis angkat sumpah Trump.

"Peluang tipis untuk melihat sama ada BNM akan memulakan tahun baharu 2017 dengan menurunkan kadar OPR itu. Namun, pasaran mungkin sudah dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan itu apabila BNM bertemu semula pada Mac untuk tindakan selanjutnya," kata OCBC. -- Bernama