Telekom Malaysia Bhd (TM) pada Jumaat berkata Pengerusinya, Rosli Man telah menerima permintaan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menangguhkan pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, TM berkata pengerusi juga telah memaklumkan Lembaga Pengarah mengenai permintaan PMO tersebut pada awal Mac, 2019.

"Kami percaya ini merupakan tadbir urus korporat yang baik untuk turut melibatkan pihak berkepentingan utama termasuk PMO," kata kenyataan itu sebagai menjawab artikel bertajuk "Stand-Off CEO Telekom" disiarkan media kewangan, The Edge Financial Daily pada Khamis.

Laporan itu antara lainnya memetik sumber yang mendakwa Rosli enggan meneruskan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar bagi menggalas tugas itu walaupun pelantikan beliau telah diluluskan oleh pemegang saham khas TM, Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

TM merujuk perenggan dalam laporan itu yang menyatakan "sumber-sumber memberitahu The Edge Financial Daily mengenai kenyataan TM pada Rabu bahawa pelantikan Ketua Pegawai Eksekutifnya harus melalui proses sewajarnya dengan MKD dan Lembaga Pengarah, adalah tidak tepat."

Syarikat telekomunikasi itu turut mengesahkan maklumat yang diberi dalam kenyataan awal pada Rabu.

Menurut TM, Lembaga Pengarah telah mengesyorkan pelantikan Imri sebagai Pengarah Urusan/CEO Kumpulan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

"Susulan itu, pihak MOF telah bersetuju dengan pelantikan itu menerusi sepucuk surat bertarikh 28 Feb, 2019, tertakluk kepada pelaksanaan dokumen sewajarnya serta kelulusan terma dan syarat tersebut.

"Sebarang pengumuman rasmi berkaitan kedudukan tersebut akan dibuat pada masa sesuai," katanya.

-- BERNAMA