Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan kepada orang ramai bahawa insiden kecurian mata wang yang dilaporkan oleh media tidak menjejaskan bekalan keseluruhan mata wang oleh pengurup wang berlesen bagi memenuhi permintaan orang ramai.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengguna boleh terus mendapatkan dan menukarkan mata wang asing dengan pengurup wang berlesen yang terdapat di seluruh negara.

"Pengurup wang dan pemborong mata wang yang terjejas telah membuat laporan polis dan kes ini kini dalam siasatan polis.

"BNM secara berasingan sedang membuat pemeriksaan secara bebas berhubung dengan insiden tersebut untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran peraturan oleh pengurup wang dan pemborong mata wang yang terlibat. Tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan," kata bank pusat itu.

BNM berkata ia akan terus memantau dengan rapi keberkesanan kawalan dan langkah pengurangan risiko yang dilaksanakan oleh perniagaan perkhidmatan wang berlesen bagi memastikan penyediaan perkhidmatan penukaran mata wang yang cekap dan boleh dipercayai.

Menurut bank pusat, banyak syarikat perkhidmatan wang kini memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kawalan, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kebergantungan pada mata wang fizikal dalam pengendalian dan operasi penukaran mata wang secara keseluruhan.

-- BERNAMA