CIMB Group Holdings Bhd baru-baru ini menerima pengiktirafan Pencapaian dalam Pengurusan Risiko Organisasi dan Ketua Pegawai Risiko Terbaik bagi David Richard Thomas, masing-masing pada Anugerah Pengurusan Risiko The Asian Banker 2018, dan Anugerah Pencapaian Kepimpinan Risiko The Asian Banker 2018.

Anugerah Pengurusan Risiko The Asian Banker adalah bertujuan untuk mengenal pasti amalan terbaik dan pencapaian cemerlang pengendalian risiko terbaik oleh pasukan pengurusan dalam institusi kewangan.

"Kami berbesar hati menerima anugerah ini daripada The Asian Banker dan berbangga David Richard Thomas memenangi kategori Ketua Pegawai Risiko Terbaik 2018. Anugerah-anugerah ini merupakan bukti tadbir urus risiko mantap, kepimpinan dan komitmen berterusan CIMB dalam mengguna pakai amalan terbaik pengurusan risiko dalam keseluruhan perniagaan dan operasi kami di ASEAN," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata sistem pengurusan risiko mantap telah memainkan peranan penting dalam meletakkan CIMB Group di landasan pertumbuhan mampan, yang seterusnya, menyediakan nilai jangka panjang yang baik kepada semua pemegang kepentingannya.

CIMB mengguna pakai Rangka Kerja Pengurusan Risiko Organisasi Menyeluruh (EWRM) sebagai satu pendekatan yang distandardkan untuk menguruskan dengan efektif risiko dan peluang-peluangnya. EWRM menyediakan gambaran menyeluruh setiap risiko yang dikenal pasti bagi meningkatkan proses pengurusan risiko yang jelas dan bertanggungjawab dan memudahkan kesediaan dan pematuhan kepada keperluan kawal selia.

Di bawah EWRM CIMB, unit perniagaan telah meningkatkan pertanggungjawaban mereka bagi aktiviti pengambilan risiko yang mana sejajar dengan falsafah 'three-lines-of-defence' kumpulan itu bagi pengurusan risiko.

Ketua Pegawai Risiko Terbaik mengiktiraf kepimpinan Thomas yang berjaya menyelaraskan strategi dan pelan perniagaan CIMB dengan pengambilan risikonya, kata bank itu.

Beliau memimpin pelbagai projek penting bagi mengukuhkan rangka kerja dan proses pengurusan risiko dalam CIMB Group, yang termasuk projek pengoptimuman aset wajaran risiko dan modal, pulangan risiko diselaras bagi projek modal dan proses petunjuk amaran awal.

Di bawah kepimpinan Thomas, CIMB Group telah menyesuaikan semula dan mengembangkan profil risikonya dengan efektif. Sumbangan lain beliau termasuklah pengenalan bengkel postur risiko tahunan dengan lembaga pengarah bagi mengetengahkan kepentingan menghubungkan risiko kepada strategi dan modal.

-- BERNAMA