Berikutan pengumuman kerajaan untuk mengurangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula hari ini, peniaga dan pengusaha kedai sudah mula membuat persiapan sejak minggu lalu.

Tinjauan di sekitar ibu kota mendapati selain menukarkan label harga barang dan makanan yang dipamerkan di kedai, mesin wang yang telah ditetapkan harga selepas GST juga turut diselaraskan semula oleh kebanyakan peniaga dan pengusaha kedai.

Pemilik kedai hardware Frankie Thong (he), 51, berkata dia telah mula menggantikan label harga baharu terhadap barang-barangnya sejak minggu lepas.

"Oleh kerana terlalu banyak barangan kecil di kedai saya, saya terpaksa mengarahkan pekerja untuk mencabut semua label harga yang dilekatkan di setiap barang dan kemudian menggantikannya dengan harga asal yang akan bermula pada 1 Jun nanti.

"Kami melakukan sedemikian awal supaya tidak kelam kabut dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan nanti," katanya kepada Bernama.

Pemilik Butik Sharon Ho, 37, berkata pihaknya sudah mula menjalankan promosi enam peratus diskaun kepada pelanggan-pelanggannya sejak minggu lepas sebagai persediaan menghadapi GST kadar sifar.

"Kami menggunakan langkah ini bagi menarik lebih ramai pelanggan dan memberi peringatan kepada mereka supaya kadar GST sifar akan bermula tidak lama lagi," katanya.

Pengurus restoran Daem Mohamad, 42, berkata pihaknya bersedia untuk memulangkan semula mesin wang yang dibekalkan oleh Jabatan Kastam Diraja (Kastam) ketika GST enam peratus mula dijalankan sejak tiga tahun lepas.

"Kami sudah mempunyai mesin wang sendiri yang tidak mempunyai kadar GST dan sekiranya Kastam tidak datang untuk mengambil balik, kami akan simpankannya dan mengeluarkan mesin wang kami untuk mengira bil pelanggan mulai esok," katanya.

Namun demikian, ada dalam kalangan peniaga tidak berpuas hati kerana pihak kerajaan hanya mengumumkan kadar penurunan itu menerusi media massa dan tidak mempunyai surat 'hitam putih' daripada pihak berkuasa kepada mereka.

Pemilik restoran Rubiah Suparman, 71, berkata pihak berkuasa seharusnya mengeluarkan notis kepada peniaga-peniaga dan pengusaha restoran tentang penurunan kadar GST itu meskipun pengumuman telah dilakukan menerusi media massa.

"Kami tidak tahu langkah seterusnya seperti penyelarasan harga ataupun menukar mesin wang kerana tiada notis daripada kementerian dan pihak berkuasa berkaitan.

"Kami terpaksa membuat penyelerasan mengikut pemahaman kami dan mendapatkan pandangan daripada pekedai-pekedai lain tentang harga dan mesin mengira wang itu kerana tiada arahan untuk berbuat demikian dan GST kadar sifar pun sudah mahu bermula esok (Jumaat)," katanya. -- Bernama