Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menggesa lebih penjelasan diberikan mengenai isu penjualan Shell Refining Company (SRC) kepada syarikat China, Malaysian Hengyuan International Limited.

Menurut presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir, ini kerana beberapa aspek penjualan tersebut tidak bersifat adil dan telus.

Beliau berkata penjualan ini juga akan mengakibatkan pelepasan pegangan SRC oleh institusi kewangan penting negara termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), di samping mengakibatkan negara hilang aset penting seperti loji penapisan SRC di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Izat turut mempersoalkan penjualan pegangan tersebut pada harga yang terlampau rendah.

"Sudah tentu dari segi perakaunan ada perkiraan yang perlu diberi penjelasan, mengapa boleh jual begitu murah sekali?
Tiada sebab Shell boleh jual begitu murah.

"Kalau kita banding dengan Esso yang juga melakukan penjualan, ianya dibuat dengan lebih teratur dan lebih baik," tegasnya.

Selain itu, beliau turut menzahirkan kebimbangannya mengenai impak penjualan ini terhadap kepentingan Bumiputera.

"Rugi kalau dijual murah, dividen murah, saham jatuh, jadi bagaimana golongan Bumiputera hendak dapat faedah yang begitu lama mereka memegangnya?

"PNB, KWAP dan KWSP harus mendapat pulangan yang baik bagi kepentingan dan pegangan masing-masing," kata beliau.

Syarikat induk SRC, Royal Dutch Shell sebelum ini mengumumkan 51 peratus pegangan tempatan dalam SRC akan dijual pada nilai AS$0.43, iaitu 63.6 peratus kurang dari nilai urusniaga terakhirnya.

"Dengan harga yang begitu murah, saya pun hairan mengapa pihak-pihak tertentu yang selalunya mudah bersuara duduk diam sahaja, tidak ambil berat, ini menyebabkan saya rasa bimbang ada udang di sebalik batu, ada kepentingan lain yang sedang dilindunginya," tegasnya.
Bila kita keluarkan kenyataan, semua membisu.

Beliau mengulangi permintaan Perdasama kepada semua badan pengawalseliaan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia dan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) untuk meneliti penjualan ini sebelum meluluskannya.

"Kita cuma mahu penjelasan, kita juga rasa cemburu kerana entiti dan aset yang sudah duduk di sini selama lebih 100 tahun, tiba-tiba boleh dijual dengan murah kepada kerajaan luar negara.

"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan pun patut melihat perkara ini sebagai satu peluang pelaburan yang baik," tambahnya.

Pada 2 Feb lalu, Shell mengumumkan penjualan 51 peratus pegangan SRC kepada Malaysian Hengyuan International Limited dengan nilai AS$66.3 juta yang dijangka selesai tahun ini.

Shell berkata penjualan itu selaras dengan strateginya untuk menumpukan kepada operasi hiliran global dan untuk menjadikan perniagaannya lebih kompetitif.

Sementara itu, mengulas mengenai penjualan itu, MSWG dalam risalah e-melnya bertarikh 5 Feb lalu menggesa lembaga pengarah Shell turut mengambil kira kepentingan pemegang saham minoriti SRC.

Badan itu berkata, Shell sewajarnya perlu memberi lebih masa untuk menerima lebih banyak tawaran dari pihak lain bagi memastikan sebarang penjualan pegangan dilakukan pada nilai yang lebih adil kepada pemegang minoritinya.