Rancangan AirAsia Bhd untuk menyenaraikan anak syarikatnya di Indonesia dan Filipina berjalan lancar dan dijangka memulakan dagangan sulung di bursa saham negara masing-masing selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata kemajuan AirAsia Indonesia agak lebih kehadapan berbanding AirAsia Philippine tetapi kedua-duanya berjalan lancar dan bakal memulakan dagangan sulung di pasaran ekuiti.

"Ia mungkin tahun ini atau suku pertama tahun depan...kedua-dua syarikat ini akan menjadi sangat bernilai pada masa depan," katanya kepada pemberita di luar acara persidangan Invest Malaysia 2017, di sini, pada Rabu.

Mengenai penjualan perniagaan pajakannya, beliau berkata syarikat penerbangan itu ketika ini sedang mengusahakan butiran terperinci janji niaga itu tetapi beliau yakin ia dapat dimuktamadkan tahun ini.

"Kami pada dasarnya mengekalkan pendirian kami untuk menjualnya. Kami akan memastikan kami mendapatkan harga terbaik bagi AirAsia," katanya.

Sementara itu mengenai harga minyak, Fernandes berkata syarikat penerbangan itu ketika ini berada di kedudukan terbaik disebabkan oleh kestabilan komoditi itu.

"Kami tidak kisah harganya asalkan ia stabil jadi lebih mudah untuk menguruskan perniagaan. Ini merupakan satu daripada perkara yang sering membimbangkan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA