Penyeragaman harga barangan keperluan asas antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung merupakan bukti tepat kerajaan Pakatan Harapan bersifat adil dan saksama.

Keseragaman harga keperluan asas antara ketiga-tiga wilayah ini mampu menstabilkan pertumbuhan ekonomi Malaysia ke arah pembangunan seimbang.

Bagi pengguna, Nurhidayah Azizah, 23 tahun, berkata keseragaman harga barang ini dapat merapatkan jurang ekonomi antara dua negeri Borneo tersebut dan Semenanjung.

Tambahnya, kesamarataan ini merupakan satu tindakan tepat kerajaan baharu dalam menangani isu yang sudah lama membelenggu rakyat Sabah.

"Jika dilihat pada keadaan ekonomi sekarang, sangat sesuai Kerajaan Persekutuan menyeragamkan harga antara Sabah dan Semenanjung dan ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.

"Dahulu, harga keperluan asas agak mahal berbanding sekarang dan kesamarataan ini amat tepat dilakukan dengan ekonomi rakyat yang sangat berkurangan dari segi kewangan. Ini membuktikan kerajaan bersikap adil untuk rakyat Sabah," katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

Berbeza pula bagi peniaga Hameed Mohd An Sari, 31 tahun, yang mengatakan bahawa keseragaman harga yang bakal dilaksanakan itu tidak membawa kesan ketara ke atas kos perniagaan mereka.

Ini jelasnya, margin perbezaan harga khususnya tepung gandum antara Sabah dan Semenanjung tidak terlalu tinggi.

"Pada masa ini, harga keperluan asas seperti gandum dan gula macam biasa, tidak ada kenaikan atau penurunan. Namun, bagi harga tepung beza hanyalah seringgit atau dua ringgit sahaja.

"Keseragaman harga yang dibuat oleh kerajaan ini langsung tidak akan menjejaskan perniagaan atau memajukan perniagaan bahkan jika ada penurunan harga, baguslah," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak.

Antara barangan yang terlibat adalah tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak dalam paket 1kg, serta beras tempatan 15 peratus hancur pek 10kg, Petrol RON95, diesel dan LPG.