Kerajaan negeri Perak tetap akan meneruskan hasrat membina lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa sebagai antara usaha untuk menarik kehadiran pelancong asing.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pada masa sama pihaknya juga komited untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini bagi membolehkan pendaratan kapal terbang bersaiz besar.

"Saya daripada mula konsisten untuk mengekalkannya dan menambah baik (LTSAS) agar dapat kapal terbang lebih besar mendarat serta menarik pelancong daripada penerbangan empat lima jam contohnya dari India dan China.

"Kami juga mengalu-alukan cadangan untuk bina lapangan terbang antarabangsa yang 'cater' kepada kapal kargo atau kapal terbang penumpang daripada 'penerbangan tambang murah," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri Perak tahun 2018 di sini, hari ini.

Penganjuran majlis kali ketujuh itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).

Ahmad Faizal mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada Selasa lalu yang berkata pembinaan lapangan terbang baharu di Perak perlu dikaji semula kerana projek itu melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berpandangan adalah lebih wajar LTSAS dinaik taraf seperti memanjangkan landasan kepada kira-kira 850 meter bagi membolehkan kapal terbang besar mendarat kerana kosnya lebih murah.

Pada 12 Okt, Ahmad Faizal membayangkan cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di Tapah atau Behrang kerana ia didapati lebih sesuai, berbanding cadangan awal di Seri Iskandar.