Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China pada tahun lepas bernilai RM240.91 bilion, naik 4.4 peratus berbanding tahun 2015.

Daripada jumlah itu, eksport dicatatkan sebanyak RM98.56 bilion dan import bernilai RM142.35 bilion, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Komposisi utama eksport ke China adalah terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (43.5 peratus), produk kimia (12.1 peratus), produk petroleum (7.5 peratus), produk berasaskan minyak sawit (6.0 peratus) dan produk keluli (4.9 peratus)," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia sebagai menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang mahu kementerian menyatakan jumlah keuntungan yang diperoleh negara daripada perdagangan dua hala melibatkan industri kecil dan sederhana dari China, dari 2015 hingga Februari 2017.

Menurut kementerian, pada 2016, pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan dari China berjumlah RM4.8 bilion berbanding RM1.9 bilion pada tahun 2015.

Pelaburan pada 2016 melibatkan 33 projek dan dijangka menyumbang 10,147 peluang pekerjaan manakala bagi 2015, sebanyak 17 projek terlibat dengan jangkaan sebanyak 5,127 peluang pekerjaan.

"Prestasi pelaburan dari China adalah memberangsangkan dan Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar China di kalangan negara ASEAN pada tahun lepas.

"Sebagai sebuah kuasa ekonomi terbesar dunia yang mempunyai saiz pasaran yang besar dengan jumlah penduduk seramai 1.3 bilion, China kekal menjadi fokus bagi pasaran eksport Malaysia," kata kementerian itu.

-- BERNAMA