Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menegaskan bahawa perkhidmatan jalur lebar Telekom Malaysia Bhd (TM) perlu berada pada tahap yang tinggi dan setanding dengan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat lain di seluruh dunia

Dalam catatan di laman Twitter, beliau menyambut baik langkah TM memperkenalkan pelan jalur lebar dan mudah alih baharu, termasuk pakej kemasukan Unifi yang berpatutan pada kelajuan 30Mbps untuk segmen sasaran B40.

"Ini langkah permulaan yang baik. Walau bagaimanapun, saya harap TM boleh menimbangkan pelan yang boleh membawa manfaat kepada semua golongan pada harga yang rendah dan juga kelajuan yang lebih tinggi.

"Dalam masa yang sama, perlu ditekankan bahawa kualiti perkhidmatan jalur lebar ini mesti pada tahap tinggi dan setanding dengan perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat lain di seluruh dunia," katanya.

TM dalam satu sesi penerangan bersama media pada Selasa turut mengumumkan tawaran pelan Unifi Turbo dengan kelajuan jalur lebar lebih dua kali ganda daripada kadar semasa, selain pakej istimewa menaik taraf perkhidmatan bagi pelanggan pra-unifi (dahulunya Streamyx) di kawasan liputan Unifi di seluruh negara.

Menurut TM, kumpulan berpendapatan rendah boleh mengakses jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga di bawah RM100, lebih 40 peratus lebih rendah daripada pakej 30Mbps sedia ada sebanyak RM179.

-- BERNAMA