Bermula dengan modal RM2,000 bagi pengeluaran 200 keping burger sehari, Kumpulan Ramly kini berkembang menjadi sebuah syarikat bernilai hampir RM1 bilion.

Perkembangan syarikat ini turut membantu ramai bumiputera menjadi usahawan burger dengan rantaian lebih 25,000 gerai menjual burger jenama 'Burger Ramly' di seluruh negara dengan memperoleh pendapatan mencecah RM30,000 sebulan.

Pengarah Urusan Kumpulan Ramly, Datuk Ramly Mokni berkata usahasama antara Ramly Burger dan penjual burger, atau lebih dikenali sebagai 'Burger Boy', membolehkan usahawan kecil memperoleh pendapatan purata 5,000 ringgit sebulan, bergantung kepada lokasi.

Menurutnya, potensi perniagaan dan pendapatan yang baik menerusi penjualan burger menarik minat ramai golongan muda untuk menjadi 'Burger Boy' serta mewujudkan 70 pemborong dan pengedar produk Ramly di seluruh negara.


Syarikat itu juga dalam perancangan mengembangkan rangkaian cawangan menerusi jenama 'Ramly Halal Mart' kepada 450 cawangan berbanding 37 ketika ini menjelang 2020.

Sementara itu, Pengurus Projek Kumpulan Ramly, Badrulzaman Baharuddin berkata menerusi model perniagaan 'Burger Boy', ia membawa kepada penjanaan pendapatan yang konsisten kepada usahawan bumiputera, khususnya dalam mendepani kenaikan kos sara hidup ketika ini.

"Ini sebenarnya yang kita mahukan, value-added (nilai tambah), dan meletakkan (perniagaan burger) ke satu tahap yang lebih baik," kata Badrul dalam satu temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.

Menerusi pembukaan kilang yang mampu mengeluarkan sehingga 15 tan burger dan pelbagai produk sejuk beku sejam, ia bakal meletakkan syarikat itu setanding dengan rangkaian restoran makanan segera luar negara.