Perodua Bezza dinobatkan sebagai kereta terbaik oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi kategori produk pengangkutan dan kawasan awam 2016.

Anugerah berkenaan telah diserahkan oleh MRM dalam satu majlis Anugerah Reka Bentuk Terbaik Malaysia 2016/2017 pada 18 April lepas.

Dalam satu kenyataan, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghargaan terhadap usaha gigih bagi menghasilkan sebuah kereta berjenama Malaysia dengan ciri-ciri standard global.

Perodua Bezza merangkul anugerah 'Kereta Malaysia Terbaik' dan 'Kereta Penampilan Baharu' Frost & Sullivan 2017, baru-baru ini.

"Pengiktirafan ini akan membantu kami untuk terus mempertingkatkan keupayaan yang diharapkan dapat melangkaui jangkaan pelanggan. Ini kerana kami sememangnya yakin dengan pendirian untuk sentiasa menambah baik aktiviti sedia ada," katanya.

Bahagian atas badan Perodua Bezza itu direka sepenuhnya oleh Perodua dan merupakan kereta sedan nasional pertama berstatus Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Ia dilancarkan pada 21 Julai, 2016 dan merupakan sedan paling laris bagi suku pertama 2017 dengan jualannya melebihi 15,900 unit.

Malah, sebanyak 50,900 unit kereta itu telah dijual sejak Julai tahun lepas. -- BERNAMA