Persidangan Pink Economy memberi motivasi, inspirasi, membimbing, dan menyokong perniagaan milik wanita, baik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baru ditubuhkan atau usahawan sedia ada.

Ia medan membincangkan topik-topik penting selain mewujudkan komuniti wanita sekali gus memupuk perkongsian dan rangkaian.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, ia turut memberi tumpuan kepada sektor keusahawanan wanita dan sumbangan mereka kepada ekonomi negara.

"Peranan SME Corporation Malaysia (SME Corp) amat kritikal, kita sedang bekerjasama dengan semua agensi termasuk SME Corp. Kita hendak membangunkan agenda usahawan yang lebih bersepadu dan lebih menjurus kepada rakyat yang mahu melihat tindakan, bukan sahaja pelan dan sebagainya.

"Kami ambil maklum dan selepas sahaja pengumuman tersebut kita akan adakan langkah segera, termasauk dari segi akta sedia ada, melihat kembali akta sedia ada dan tindakan jangka masa pendek," katanya selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Pink Economy di Bangunan SME Corp di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sesi pertama persidangan tersebut menekankan tajuk 'Pemimpin atau pengurus, apa keperluan perniagaan kecil anda?' yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Impulse Studio, Jinie Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Ayu Technology, Nadira Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif amaxMALL, Datin Dr. Nik Sarina Hashim sebagai panel.

Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Nasihat & Sokongan Perniagaan SME Corp, Sharifah Najwa Syed Abu Bakar pula menjadi moderator untuk sesi berkenaan.

Sementara, sesi kedua bertajuk 'Memacu perniagaan ke masa hadapan' menampilkan Pengarah Eksekutif Global Entrepreneurship Movement (GEM), Low Ngai Yuen, pereka kasut terkenal, Nelissa Hilman, Pengasas Kumpulan Ras Kenis, Marina Kenis dan Pengasas Bersama dan Pengarah Kewangan Neubody, Wen Chiam.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Zuhaila Akmar pula menjadi moderator untuk sesi berkenaan.

Dalam pada itu kata Wan Suraya, kementeriannya sudah menghantar kertas cadangan untuk meningkatkan daya saing usahawan selain memberi penekanan kepada golongan belia.

Jelasnya, ia termasuk pelan strategik untuk menangani cabaran, strategi mendapatkan dana serta isu peruntukan kepada usahawan.