Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Yusry Yusoff berkata jurang antara keperluan industri kewangan Islam dan pelajar lepasan universiti masih wujud dan perlu diberi perhatian.

Sektor pendidikan tinggi memainkan peranan penting bagi menyokong pertumbuhan industri dan memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang lengkap dan relevan dengan perkembangan industri.

"Jika dilihat sasaran pertumbuhan saiz aset sebanyak 40 peratus, tentunya memerlukan jumlah tenaga mahir yang tinggi.

"Ia bukan sahaja melibatkan jumlah tenaga mahir, tetapi bakat berkemahiran tinggi," kata Yusry pada sidang media yang berlangsung UNITAR Kelana Jaya.

Sidang media tersebut mengumumkan Forum Kewangan Islam Amanie UNITAR 2015 yang bakal berlangsung pada 17 September 2015 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Universiti Antarabangsa UNITAR dengan usahasama Kumpulan Syarikat Amanie membangunkan program Ijazah Kewangan Islam, di bawah Fakulti Teknologi Perniagaan dan Perakaunan, bagi menyokong usaha meningkatkan tenaga berkemahiran tinggi dalam industri kewangan Islam.

Forum yang bertema 'Unlocking The Critical Ecosystem of Islamic Finance' itu akan membincangkan cabaran pada aliran bekalan industri kewangan Islam terutamanya di kalangan bank-bank Islam, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui kewangan Islam serta elemen kewangan Islam di Malaysia.