Pertumbuhan perlahan ekonomi global yang berlaku kini tidak akan menjejaskan pekerja di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun diakui kelemahan pertumbuhan ekonomi, ia dilihat tidak sampai menekan golongan pekerja.

"Saya percaya pertumbuhan ekonomi global yang perlahan sekarang tidak akan menjejaskan pekerja di negara ini.

"Saya tidak fikir akan berlaku retrenchment, pengurangan pekerja atau pun pendapatan mereka akan berkurangan, tetapi itu mungkin bererti bahawa kegiatan ekonomi perlahan sedikit," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan terbitan salah satu stesen televisyen negara.

Najib berkata demikian ketika mengulas isu kelembapan ekonomi dunia dan kaitannya dengan nasib pekerja di negara ini.

Pada Selasa, Najib menegaskan bahawa Malaysia tidak berada dalam situasi krisis, meskipun harga minyak mentah global telah menjunam lebih 50 peratus.

Bagaimanapun katanya semasa pengumuman pengubahsuaian dan intervensi yang perlu dilakukan bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah, langkah-langkah pre-emptive perlu diambil bagi menghadapi perubahan senario ekonomi global yang diluar kawalan kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib memberitahu, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan menyebabkan kadar inflasi akan turun antara 2.5 hingga 3.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran asal iaitu pada 4 hingga 5 peratus.

Jelasnya, penurunan itu juga disebabkan pengurangan harga minyak yang mendadak iaitu lebih daripada 50 peratus, kerana terdapat lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan.

"Dengan kadar enam peratus, CBP dapat memberikan hasil tambahan kepada negara berikutan penurunan harga minyak, yang merupakan salah satu sumber kewangan negara," katanya.