Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin mengalu-alukan penyertaan Petroleum Sarawak (Petros) atau mana-mana syarikat milik negeri lain yang mahu melibakan diri dalam sektor minyak dan gas.

Menurutnya, Petronas menyambut baik penyertaan itu namun ia perlu selaras dengan terma-terma sedia ada.

“Kami mengalu-alukan penyertaan Petros atau mana-mana syarikat milik negeri lain yang mahu melibatkan diri dalam sektor minyak dan gas, sama ada dari Terengganu, Sabah, Sarawak atau lain-lain.

“Kami menerima baik penyertaan mereka, asalkan ia selaras dengan terma-terma sedia ada. Kesemua soalan ini berkenaan Petros, jadi anda perlu tanya kepada Petros,” kata Wan Zulkiflee tanpa mengulas lebih lanjut.

Pada Ogos 2017, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, Petros ditubuhkan secara rasmi.

Beliau berkata anggota lembaga pengarah syarikat itu sudah dilantik dan mereka terdiri daripada profesional kelahiran Sarawak, yang berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas, manakala tiada seorang pun daripada mereka adalah ahli poilitik.

Penubuhan Petros merupakan langkah yang julung kali diambil kerajaan negeri bagi membolehkan Sarawak melibatkan diri secara aktif dalam pengeluaran minyak dan gas di Sarawak, sambil meneruskan permohonannya bagi mendapatkan 20 peratus royalti daripada Petronas.

Pelancaran dan pengenalan calon ketua pegawai eksekutif Petros akan diumumkan Abang Johari minggu depan.