Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan piawaian yang dipertingkat bagi menaikkan tahap tadbir urus korporat merentas institusi kewangan berkuat kuasa serta-merta.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata tadbir urus yang baik merupakan komponen penting bagi institusi kewangan yang teguh dan memainkan peranan penting mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan.

Piawaian yang disemak mengukuhkan syarat-syarat untuk lembaga pengarah yang mantap dan berkesan, dengan lebih penekanan diberikan pada budaya risiko yang mantap dan sistem saraan dalam usaha menggalakkan pengambilan risiko yang berhemat.

Di samping itu, piawaian ini menangani isu-isu yang timbul daripada struktur organisasi yang lebih kompleks dan model perniagaan institusi kewangan yang telah berkembang dari segi saiz dan merentasi sempadan.

Secara kolektif, ia bertujuan untuk menetapkan piawai emas (gold standard) bagi tadbir urus korporat di Malaysia, sejajar dengan peranan penting institusi kewangan dalam sistem kewangan dan ekonomi yang lebih luas.

Perubahan utama yang diperkenalkan dalam piawaian ini termasuk:

• mengukuhkan keperluan terhadap komposisi lembaga pengarah, termasuk keperluan bagi lembaga pengarah diwakili oleh majoriti ahli lembaga pengarah bebas;

• keperluan yang dipertingkat bagi lembaga pengarah dan jawatankuasa lembaga, termasuk keperluan untuk meluluskan dan mengekalkan rancangan pemulihan dan penyelesaian yang berwibawa dalam keadaan tekanan;

• keperluan bagi lembaga pengarah untuk menetapkan had tempoh bagi ahli lembaga pengarah bebas yang secara amnya tidak harus melebihi sembilan tahun;

• keperluan bagi institusi kewangan untuk menerima pakai kod etika yang menggalakkan tingkah laku beretika, berhemat dan profesional, disokong oleh dasar penyampaian maklumat (whistleblowing) yang telus;

• keperluan yang diperluas mengenai pengaturan saraan yang menggalakkan budaya risiko yang mantap dan sejajar dengan pengambilan risiko secara berhemat.

• keperluan yang diperkukuh bagi pengaturan tadbir urus yang berkesan di seluruh kumpulan.

Walau bagaimanapun, terdapat keperluan tertentu yang tertakluk kepada tempoh peralihan.