Kerajaan mempertimbang untuk mendapatkan kemudahan pinjaman dari Jepun kerana ingin mengurangkan jumlah kos wang (cost of money) yang disebabkan oleh kadar faedah hutang dari pentadbiran terdahulu yang terlalu tinggi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata nilai Yen dari Jepun akan membantu negara dari segi pengurusan pembayaran hutang.

Katanya, nilai wang Yen Jepun lebih murah berbanding Ringgit, dengan Yen bernilai ASD1 sen, manakala RM1 bernilai ASD25 sen.

Oleh itu, membayar balik hutang negara dengan Yen Jepun bermakna negara tidak dibebani dengan kadar faedah tinggi sebanyak lebih daripada enam peratus.

"Kerajaan ada terima 'soft loan' (pinjaman mudah) dahulu dari Jepun dengan kadar faedah 0.7 peratus di mana tempoh bayaran balik selama 40 tahun.

"Kita tahu Jepun tidak boleh memberikan faedah serendah itu lagi, namun membayar balik hutang dengan Yen berfaedah rendah bermakna kita tidak lagi dibeban dengan faedah lebih tinggi dari enam peratus hutang asal," jelas Dr Mahathir pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.



Dengan kata lain, katanya, hutang yang diambil dengan matawang Yen akan menggantikan hutang dalam bentuk dolar Amerika atau Ringgit.

"Kita masih berhutang tetapi kos hutang turun. Sebab itu kita minta dari Jepun," kata beliau sebagai respon kepada soalan dari Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN - Bagan Datuk).

Ahmad Zahid bertanyakan mengenai rasional Malaysia dalam tindakannya ingin mendapatkan pinjaman kewangan daripada negara Jepun.

Katanya, kerajaan juga hanya akan meminjam Yen sebanyak nilai ASD atau jumlah Ringgit yang dihutang.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut mendedahkan bahawa kerajaan sebelum ini membayar komisyen 10 peratus kepada Goldman Sachs daripada hutang yang diambil.

"Ini bermakna kerajaan dahulu mendapat hanya 90 peratus daripada wang yang dihutang tetapi membayar faedah ke atas 100 peratus wang dihutang.

"Faedah ke atas 90 peratus meningkat kepada 6.6 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata: "Hutang Yen akan mengganti hutang ASD atau Ringgit. Kita masih berhutang, tetapi kos hutang menurun. Inilah sebabnya yang kita cuba mendapat pinjaman Yen daripada kerajaan Jepun."