Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa memanfaatkan dana yang diperuntukkan dalam Bajet 2018 untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata peruntukan PKS bagi 2018 itu adalah yang terbesar dalam sejarah pembentangan bajet negara.

"Kerajaan memberi penekanan terhadap perusahaan dan perindustrian dalam Bajet 2018 serta meletakkannya sebagai tunjang pertama (merancakkan pelaburan, perdagangan dan industri) daripada lapan tunjang yang disenaraikan, kerana 98.5 peratus daripada seluruh entiti perniagaan Malaysia adalah PKS.

"Pemberian bajet kepada PKS kali ini adalah yang terbanyak dalam sejarah, saya harap PKS khususnya PKS bumiputera, dapat segera merebut segala peluang pembiayaan yang disediakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke kilang pembuatan pisau untuk perindustrian kayu, Messer.

Ahmad berkata, kesemua peruntukan yang dsenaraikan dalam Bajet 2018 merangkumi pelbagai aspek termasuk akses kepada pasaran, pembiayaan untuk latihan, modal insan, teknologi dan automasi, serta modal kerja.

Beliau berkata, antaranya, RM200 juta bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp; RM82 juta untuk industri halal; RM500 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, dan RM200 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Namun begitu terdapat lagi peruntukan untuk PKS, yang diberikan menerusi peruntukan kementerian lain yang berkaitan dengan PKS, ada 16 kementerian terlibat," katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam negara dijangka meningkat dan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun hadapan.

"Pelaburan sektor awam adalah tinggi iaitu dijangka mencecah RM109 bilion, (berbanding) pada 2009 cuma RM75 bilion," katanya.

-- BERNAMA