Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia digalak mengembangkan perniagaan ke Jepun.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengenal pasti PKS yang berpotensi untuk melabur dan berdagang di Jepun.

Tambah beliau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan mempermudahkan akses ke pasaran Jepun.

"Pasaran Jepun sukar ditembusi. Oleh itu, melalui pendedahan yang diberikan TPPA, kita berharap lebih banyak PKS menembusi pasaran Jepun," kata Mustapa selepas melancarkan program SME Bank Xcess 2016 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade hari ini.

Mustapa berkata hampir 50 peratus eksport Malaysia ke Jepun melibatkan sektor gas.

Jadi beliau berharap lebih banyak sektor akan melibatkan diri dalam dagangan dan pelaburan di Jepun terutamanya PKS.

Tambah beliau delegasi Jepun akan ke Malaysia pada 15 Mac 2016 untuk sebuah program bersama MIDA bagi mempromosikan pelaburan.

450 PKS disasar dapat pembiayaan

Sementara itu, Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunos berkata kira-kira 450 PKS yang menyertai program SME Bank Xcess 2016 disasar mendapat pembiayaan daripada jumlah keseluruhan kelulusan pembiayaan bernilai RM200 juta.

Program SME Bank Xcess 2016 dijalankan untuk mendekati usahawan PKS dan memudahkan mereka mendapat pembiayaan.

Radzif berkata program ini adalah salah satu usaha yang diambil SME Bank untuk membantu mencapai sasaran kerajaan dalam memastikan PKS menyumbang 41 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Setakat ini, PKS menyumbang 36 peratus KDNK.

Sejak penubuhannya pada 2005 hingga Disember 2015, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernialai RM23 bilion kepada lebih 13,000 orang pelanggan.