Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu meningkatkan kualiti produk serta produktiviti bagi menembusi pasaran global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, hal ini amat penting memandangkan kerajaan telah menyediakan ekosistem yang cukup lengkap bagi mencapai sasaran 41 peratus sumbangan industri itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

Katanya, peruntukan besar dalam Bajet 2018 yang menelan belanja RM22 billion wajar dimanfaatkan sebaiknya.

"Saya mahu PKS untuk gunakan dana ini bagi tujuan pengembangan, 'startup', eksport dan automasi bagi persediaan menghadapi revolusi industri 4.0.

"Saya harap komuniti PKS memanfaatkan sebaiknya peluang ini serta mengubah gerak kerja sebaiknya," katanya ketika menjawab soalan pada sesi sembang santai sempena pelancaran Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Tambah beliau, pembinaan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menjadi platform penting sebagai pemacu utama membawa produk PKS tempatan ke pasaran antarabangsa.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad, manakala Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim bertindak sebagai moderator.