Malaysia sudah pasti menyambut baik penyertaan China dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memandangkan pakatan terbesar dunia itu sewajarnya terangkum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Persetujuan semua anggota TPPA ialah supaya perjanjian ini menjadi blok Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Pasifik, yang meliputi semua ekonomi APEC, termasuk China.

"Sebagai rakan dagang paling penting kami, Malaysia sudah semestinya menyambut baik China sebagai anggota TPPA," kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan Bernama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 2015 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang bermula Sabtu ini.

Sejumlah 12 negara terlibat dalam TPPA -- Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, memuktamadkan rundingan di Atlanta bulan lepas.

China bagaimanapun bukan sebahagian daripada TPPA.

Najib mengulas soalan mengenai sama ada TPPA semata-mata bertujuan memberi manfaat kepada Amerika Syarikat untuk berhadapan kuasa besar ekonomi, China.

"Kami mahu TPPA terangkum sepenuhnya, oleh itu kami akan terus menyokong kemasukan anggota baharu.

"Lebih banyak pasaran untuk barangan dan perkhidmatan dan membangunkan rangkaian bekalan dunia merupakan kedudukan sama sama menang untuk semua pihak yang terlibat - yang termasuk China jika mereka memutuskan untuk turut serta," kata Najib.

Anggota TPPA bertemu di Manila baru-baru ini di luar Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Ditanya sama ada TPPA akan menjadikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang termasuk China, sebagai bertindih, Perdana Menteri berkata perjanjian itu akan melengkapkan antara satu sama lain.

RCEP merupakan antara perjanjian perdagangan utama yang sedang dirundingkan oleh ASEAN dan rakan dagang bebasnya.

Dengan kesemua 10 anggota ASEAN dan rakan FTAnya, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand terlibat, ia menyumbang hampir 30 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

"Tidak berlaku pertindihan atau percanggahan antara TPPA dan RCEP. Kedua-duanya kaedah untuk meningkatkan lagi liberalisasi perdagangan, dan atas sebab itulah Malaysia menyokong penuh kedua-duanya," kata Najib.

Perdana Menteri juga berkata 'terdapat aturan pelengkap yang akan menyumbang kepada matlamat yang lebih luas dalam penyepaduan serantau di Asia Pasifik.

"RCEP juga dijangkakan melengkapkan usaha ASEAN untuk menjadi asas pengelauran tunggal, sekali gus memastikan Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur asing.

"Ada sebab untuk kita untuk terus memberi penekanan saksama kepada kedua-duanya," kata Najib.